Saturday 19 January 2013

Fiber atau Serat Untuk Kurus?

Adakah anda memilih makanan yang terdiri daripada fiber atau serat untuk kurus? Tapi tahukah anda apakah khasiat fiber selain daripada untuk kurus? Maklumat ini mungkin berguna untuk anda yang merancang untuk kurus, dengan memperbanyakkan pengambilan fiber dalam jadual pemakanan anda seharian.




Kebaikan Serat 

1. Bagus untuk penghadaman
    
Serat tidak mempunyai nilai kalori walaupun diambil dengan kuantiti yang banyak, malahan serat sangat bagus untuk sistem penghadaman. Serat boleh didapati daripada biji-bijian, bijirin, gandum, buah-buahan, sayuran dan kekacang. Serat terbahagi kepada dua kategori : serat larut dan serat tak larut. Nutrisi cadangan adalah untuk 20-35 gram jumlah semua jenis serat per hari. Ia memperbaiki fungsi usus dengan mengurangkan tempoh masa pergerakan usus sekaligus membantu membuang dan membersihkan sisa toksik dalam usus. Serat juga meningkatkan rasa kenyang dan bertindak sebagi pelembut najis. Walau bagaimanapun, satu perkara yang harus diingat, pengambilan diet yang tinggi serat perlu disertai dengan pengambilan air yang banyak untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah sembelit.

2. Membantu menurunkan berat badan

Serat bertindak sebagai penindas selera. Makanan yang kaya serat menyerap air dan menyebabkan ia mengembang. Keadaan ini menyebabkan perut rasa kenyang dan boleh membantu dalam penurunan berat badan. Keadaan ini selari dengan amalan pemakanan Rasulullah yang mana Baginda mengamalkan memakan buah-buahan sebelum makan makanan berat. Makanan berserat juga melemahkan kebolehan tubuh untuk menyerap gula dan lemak. Ini bermakna makanan berserat boleh diambil walaupun dalam proses penurunan berat badan kerana ia mengekalkan paras insulin yang rendah dan membenarkan tubuh untuk meneruskan proses pembakaran lemak.

3. Mengawal penyakit

Serat dapat membantu mengawal penyakit diabetes. Ini berlaku apabila serat mengurangkan amaun insulin yang dibebaskan oleh pankreas dengan cara memperlahankan proses pemecahan karbohidrat kepada glukosa yang memasuki edaran darah. Ia juga membantu mengurangkan edaran gula dalam darah. Serat membebaskan gula secara perlahan-lahan ke dalam aliran darah, mengurangkan rasa lapar, sakit kepala dan kelesuan ekoran daripada penurunan paras gula dalam darah secara mendadak.

4. Mengurangkan risiko penyakit

Risiko penyakit jantung dapat dikurangkan dengan pengambilan serat. ini terjadi apabila kolesterol LDL atau lebih dikenali sebagai kolesterol jahat berkurangan di dalam badan kita. Serat akan bergabung dengan kolesterol dan membawanya keluar daripada tubuh manusia. Serat juga mengurangkan risiko untuk mendapat kanser kolon dengan menyeimbangkan pH dalam usus. Di samping itu, serat membantu dalam melawaskan sistem pencernaan dan memudahkan pembuangan najis daripada usus. Serat tidak bergabung dengan mana-mana vitamin dan mineral, jadi pengambilannya tidak akan mengganggu penyerapan vitamin dan mineral lain.

Sumber : Majalah Anis, Mac 2012

No comments:

Post a Comment